SOLAT ISTIKHARAH DALAM MEMILIH JODOH

"walaupun manusia dikurniakan dengan kesempurnaan, tetapi mereka tetap memiliki kekurangan, terutama dalam menentukan sesuatu di luar kemampuannya"

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Ada kalanya, setibanya tempoh pernikahan atau pertunangan, anda akan menjadi tertanya-tanya sama ada, adakah keputusan yang anda lakukan ini adalah yang terbaik buat anda dan pasangan? Benarkah dia jodoh yang tepat buat anda? Antara si A dan si B, manakah yang paling terbaik untuk anda?

Islam adalah agama yang sangat sempurna, malah Islam menyediakan penyelesaian bagi mereka yang keliru akan jodoh mereka sendiri. Walaupun manusia dikurniakan dengan kesempurnaan, tetapi mereka tetap memiliki kekurangan, terutama dalam menentukan sesuatu di luar kemampuannya. Dan disebabkan itu, inilah antara hikmah dalam melakukan solat sunat istikharah, ianya agar manusia dapat menjalinkan hubungan mereka dengan Allah di saat mereka ingin membuat pilihan. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang maha mengetahui segala-galanya.

Allah berfirman: ”Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-sekali tidak ada pilihan bagi mereka (apabila Allah telah menentukan). Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan. Dan Tuhamnu mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan. Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagiNyalah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagiNyalah segala penentuan dan hanya kepadaNyalah kami dikembalikan (al-Qasas 68-70).

Bagi mereka yang keliru di saat membuat keputusan dalam pemilihan jodoh, anda disunnahkan Istikharah. Ketika sesi bertaaruf (berkenalan), sebaiknya anda lakukan istikharah terlebih dahulu, meminta diberikan petunjuk. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa solat istikharah hukummnya sunat apabila seseorang berhadapan dengan masalah dalam membuat keputusan.

Ianya tiada batasan dalam melakukan solat istikharah. Maksudnya, sekiranya anda menunaikan solat istikharah dua rakaat, kemudian melakukannya lagi pada hari esok sebanyak dua rakaat, maka ianya tidak ada masalah. Semakin banyak anda lakukan, semakin bagus. Sehingga anda menemukan jawapan atas pertanyaan itu.

Justeru itu, sekiranya anda mempunyai masalah dalam pemilihan jodoh, anda disunatkan untuk menunaikan solat istikharah, sesungguhnya hanya si Dia yang mengetahui baik buruk sesuatu perkara itu. Wallahualam.

 

Kongsi artikel ini: