Kenapa wanita lewat mendirikan rumah tangga?

Kenapa wanita lewat mendirikan rumah tangga?

kebanyakan wanita yang masih belum mendirikan rumah tangga ini disebabkan kerana mereka sudah terbiasa hidup berdikari. Mereka sudah memiliki semua benda yang mereka inginkan dan sudah selesa dengan kehidupan yang mereka sedang lalui...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

Soal jodoh sama juga macam rezeki iaitu tidak boleh dipaksa. Kita sebagai manusia haruslah sentiasa berusaha meskipun sudah selesa dengan kehidupan yang dimiliki. Sesungguhnya perkahwinan itu sunnah Rasulullah SAW dan baginda bersabda:

“Siapa yang tidak mengikut sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.”

Dengan mengikut sunnah Rasulullah dalam berumah tangga, ia akan melahirkan ketenangan. Usah sesekali melihat secara negatif walhal masih banyak perkara positif yang mampu diperoleh daripada sebuah perkahwinan. Pelbagai usaha yang mampu dilakukan sekiranya seseorang itu masih belum bertemu jodoh, kalau tanpa usaha bagaimana mahu nampak hasilnya?

“Aku seorang wanita yang masih belum mendirikan rumah tangga. Kesibukan kerja membuatkanku tidak ada masa untuk memikirkan soal jodoh. Umur aku pun sudah makin meningkat usia. Aku mempunyai ramai kawan lelaki, tetapi hubungan kami hanya sekadar sebagai seorang kawan. Aku sering diajukan soalan oleh saudara-mara dan teman-teman tentang jodoh tetapi aku sering mengelak daripada menjawab pertanyaan mereka. Aku mengaku disebabkan terlalu sibuk dengan kerjaya membuatkanku aku lupa yang aku semakin dimamah usia. Secara jujurnya, aku berasa sangat cemburu melihat kawan-kawanku yang sudah berumah tangga malah ada yang sudah dikurniakan dengan cahaya mata. Melihat kebahagiaan mereka membuatkanku ingin mendirikan rumah tangga.”

Sudah terbiasa hidup berdikari

Sebenarnya, kebanyakan wanita yang masih belum mendirikan rumah tangga ini disebabkan kerana mereka sudah terbiasa hidup berdikari. Mereka sudah memiliki semua benda yang mereka inginkan dan sudah selesa dengan kehidupan yang mereka sedang lalui, ini menyebabkan mereka tidak mempunyai inisiatif untuk mencari pasangan hidup. Kalau nak dibandingkan rata-rata sahabat handai mereka sudah mempunyai cahaya mata sedangkan mereka pula masih tidak mempunyai calon pilihan hati dek kerana sudah terbiasa dengan kehidupan yang sedia ada.

Berpendidikan tinggi dan bekerjaya

Tidak dinafikan lagi bahawa rata-rata wanita yang lewat mendirikan rumah tangga ini adalah disebabkan kerana dipengaruhi oleh kerjaya mereka sendiri. Hal ini menyebabkan lelaki takut untuk mendekati mereka seolah-olah tercabar dengan status yang ada pada wanita itu. Seperti statistik yang kita dapat lihat di Malaysia, kebanyakan graduan lepasan universiti dimonopoli oleh kaum wanita maka tidak hairanlah kalau lebih ramai wanita yang berpendidikan tinggi dan bekerjaya daripada kaum lelaki.

Tidak suka buang masa (dalam soal bercinta)

Mereka yang sudah lanjut usia ini kebanyakannya tidak suka buang masa lebih-lebih lagi dalam soal bercinta. Bagi mereka, percintaan memakan masa yang agak lama, daripada memikirkan soal cinta lebih baik mereka memikirkan akan kerjaya mereka. Tambahan pula, sekiranya si dia merasakan tidak dapat ‘ngam’ dengan seseorang itu, mereka akan terus ‘move on’, buat apa buang masa kalau dah tahu hubungan itu tidak boleh pergi jauh?

Masih ragu-ragu akan prinsip “perigi mencari timba”

Kalau dibangkitkan tentang kenyataan ini pasti ramai wanita masih mengamalkan tentang prinsip “malulah kalau perigi mencari timba”. Mereka masih tidak dapat menerima hakikat bahawa zaman sekarang sudah tidak ada istilah ‘malu’ untuk memulakan pencarian. Sesungguhnya ianya tidak ada salahnya sekiranya wanita yang memulakan sesebuah hubungan terlebih dahulu, atau dalam erti kata lain, tidak salah sekiranya wanita yang menegur kaum lelaki terlebih dahulu untuk memulakan sesebuah perhubungan. Tidak bererti perkenalan itu sesuatu yang memalukan bahkan dari perkenalan itulah dua hati dapat mengenali hati budi masing-masing. Sedangkan dengan kemudahan yang ada pada zaman sekarang lebih mudah untuk seseorang itu memulakan perkenalan. Siapa sangka, dari satu teguran itulah yang boleh membawa mereka ke jinjang pelamin.

Natijahnya, sesetengah wanita pada hari ini tidak dapat merasa ‘mahalnya’ sebuah perkahwinan. Malah mereka seolah-olah takut untuk berkahwin meskipun mereka menyedari akan keindahan sebuah perkahwinan. Namun, masih terdapat wanita yang tidak meletakkan perkahwinan sebagai keutamaan buatnya dek kerana sudah terlalu selesa akan kehidupan yang mereka miliki pada masa kini. Malah mereka juga turut dipengaruhi oleh masyarakat yang dilihat kahwin ini banyak timbulkan masalah dan menyebabkan wanita tidak rela untuk berkahwin. Disebabkan faktor-faktor inilah ramai wanita di luar sana yang masih belum mendirikan rumah tangga.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar