‘Tiada calon sesuai’ - Alasan Wanita Kahwin Lambat

‘Tiada calon sesuai’ - Alasan Wanita Kahwin Lambat

Kahwin merupakan satu sunnah para rasul termasuk Nabi kita, Muhammad s.a.w. Pembentukan keluarga itu bermula dengan sebuah perkahwinan...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

Kahwin merupakan satu sunnah para rasul termasuk Nabi kita, Muhammad s.a.w. Pembentukan keluarga itu bermula dengan sebuah perkahwinan. Perkahwinan mempunyai tujuan dan matlamatnya yang tersendiri. Perkahwinan juga merupakan fitrah semula jadi manusia dan satu proses hidup yang sihat dan wajar. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah saw di dalam hadithnya daripada Abu Hurairah yang bermaksud;

“Sesiapa yang suka kepada fitrahku maka hendaklah ia melakukan sunnahku dan sebahagian daripada sunnahku ialah nikah.”

(Hadis Riwayat Al Baihaqi)

Melalui hadis ini, jelaslah kepada kita bahawa, Rasulullah sangat menggalakkan perkahwinan kerana ia adalah di antara sebahagian sunnah yang terbesar baginda. Hidup berpasangan adalah fitrah semula jadi alam. Setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang dan malam, pasang dan surut dan sebagainya lagi.

Begitulah juga halnya dengan manusia. Perkahwinan adalah institusi yang menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup sehati dan sejiwa untuk sama-sama mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan.

Trend perkahwinan penduduk Malaysia

Berdasarkan statistik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) purata pertumbuhan penduduk pada 2030 nanti dijangka akan menjunam hingga 0.7 peratus berbanding 2.6 peratus pada sekitar tahun 90-an. Trend perkahwinan pada lewat usia, (30-an hingga 40-an) adalah dikenal pasti sebagai pendorong utama masalah ini.

Sejak daripada tahun 80-an hingga 2000, purata kadar kelahiran di Malaysia adalah sebanyak 2.6 peratus namun tahun demi tahun purata kadar kelahiran di negara ini dijangka menjunam kepada 0.7 peratus menjelang 2030.

Berkahwin pada usia lewat dikenal pasti sebagai punca utama penurunan tersebut. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pasangan lewat berkahwin? Jom kami kongsikan dengan anda sebab perkahwinan pada lewat usia terutamanya bagi golongan wanita. Kajian ini adalah daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5).

Tiada calon yang sesuai

Tiada calon yang sesuai adalah antara alasan yang sangat banyak digunakan oleh mereka yang tidak berkahwin awal terutamanya bagi golongan perempuan. Bagi golongan perempuan, perkahwinan merupakan satu keputusan yang penting dan tidak perlu dibuat terburu-buru. Terburu-buru memilih pasangan hidup, jika tersalah pilihan mungkin membawa padah.

Oleh itu bagi mereka, mengambil masa yang sedikit lama untuk suatu keputusan yang penting lebih-lebih lagi apabila melibatkan kehidupan mereka, ia adalah sesuatu yang normal bagi kaum itu. Mana tidaknya, kalau boleh mereka mahu berkahwin sekali sahaja seumur hidup mereka.

Risau tersalah pilih bakal suami

Saya tertarik dengan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Prof. Muhaya di dalam ceramahnya suatu ketika dulu, beliau menyebut, “Wanita paling malang adalah wanita yang tersalah pilih suami.” Hidup seorang perempuan itu akan berubah semuanya selepas berkahwin mengikut acuan suaminya. Jika suaminya seorang pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab, maka ia akan menjadi syurga bagi si isteri. Jika sebaliknya, hidup si isteri akan menjadi neraka buatnya. Di atas keperluan inilah, golongan mereka amat cerewet memilih teman hidup.

Memilih bukanlah suatu kesalahan. Malah, di dalam mencari jodoh memilih merupakan keperluan bagi mendapatkan calon suami atau isteri yang terbaik. Rasulullah saw. pernah menganjurkan untuk memilih calon isteri yang baik agamanya.

“Wanita biasanya dinikahi kerana empat hal iaitu hartanya, kedudukannya, paras rupanya dan agamanya. Maka hendaklah kamu memilih wanita yang baik agamanya. Kalau tidak, nescaya kamu akan menjadi orang yang rugi.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi golongan perempuan pula, menerima lelaki yang kita tahu kebaikan dan cantik akhlaknya pula adalah sangat dituntut. Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. bersabda dalam suatu hadis yang bermaksud;

“Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan akhlaknya, maka terimalah lamaranya. Jika tidak, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.”

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kesimpulan

Mencari calon untuk dijadikan pasangan hidup adalah sesuatu yang memerlukan kesabaran. Setiap orang mungkin berbeza ujiannya. Ada yang cepat mendapat jodoh, namun ada juga yang terlewat bertemu pasangan hidup. Apa yang perlu dilakukan adalah usaha. Jangan pernah putus asa daripada berusaha. Jika anda tidak memulakan usaha, bagaimana mahu mendapatkan jodoh yang terbaik buat diri anda?

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar