Hakikat perkahwinan bukan semuanya seperti drama TV

Hakikat perkahwinan bukan semuanya seperti drama TV

Siapa yang tidak gembira jika sudah tiba masa mereka untuk melangkah ke alam perkahwinan? Setiap individu, mereka mesti berasa gembira kerana bakal menjejakkan kaki ke fasa yang baru...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

Siapa yang tidak gembira jika sudah tiba masa mereka untuk melangkah ke alam perkahwinan? Setiap individu, mereka mesti berasa gembira kerana bakal menjejakkan kaki ke fasa yang baru dalam hidup bersama-sama dengan orang yang mereka sayangi. Fitrah seorang manusia sukakan antara satu sama lain yang berlawanan jantina memang satu perkara yang tidak boleh dinafikan. Malah. Ikatan tersebut haruslah dihalalkan dengan cara yang sah dalam islam iaitu melalui perkahwinan.

Allah swt. telah berfirman di dalam surah Ar- Rom yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(Surah Ar-Rom : Ayat 21)

Jadi bagi merealisasikan impian mereka, ada yang memilih untuk kahwin muda iaitu selepas habis belajar. Ia adalah salah satu perbuatan contoh yang baik demi menjaga perhubungan. Namun, perkahwinan bukanlah seindah drama tv3 yang selalu kita tonton. Tidak semua orang akan berkahwin dengan anak orang kaya berpangkat ‘dato’. Lepas kahwin, terus tinggal dalam banglo dan memandu kereta mewah.

Sedangkan, realitinya ramai pasangan yang selepas berkahwin, duit dan kewangan mereka sudah habis dibelanjakan untuk majlis perkahwinan. Mereka terpaksa ikat perut untuk memulakan hidup berkeluarga selepas kahwin. Mereka mungkin menyewa rumah dahulu selepas kahwin. Yang ada dalam rumah sewa pun kebanyakan adalah benda yang asas seperti tilam, dapur gas, peti ais. Ia bertambah dari masa ke semasa mengikut kemampuan pasangan.

Kahwin membuka pintu rezeki.

Firman Allah swt. dalam surah An-nur ayat ke 32 yang bermaksud;

Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

(Surah An-Nur: Ayat 32)

Dalam ayat di atas Allah swt. telah menjanjikan rezeki dan kecukupan bagi mereka yang mahu berkahwin. Perkahwinan membuka pintu rezeki. Rezeki bukan hanya datang dalam bentuk wang ringgit sahaja. Mendapat pasangan yang baik itu rezeki. Hati yang tenang tanpa masalah itu juga rezeki. Jika duit kita itu berkat, duit yang sedikit pun akan menjadi cukup.

Perkahwinan memerlukan pengorbanan. Ia adalah termasuk dalam kategori ibadah. Mungkin di awal perkahwinan, kita terpaksa masak dan makan di rumah setiap hari. Makan pun hanya goreng telur dan ikan kering. Ia adalah sesuatu yang normal. Bukan senang memulakan hidup baru daripada kosong. Hidup kita tidak sama dengan drama kisah cinta dalam TV yang biasanya cuma ada satu halangan dan kemudian terus dihabiskan dengan ‘happy ending’ sampai bila-bila.

Selepas kahwin, banyak lagi halangan yang perlu kita lalui sebenarnya. Apabila ada masalah, jangan berputus asa. Perlu kuat dan tabah. Yang paling penting adalah sentiasa berkomunikasi dengan pasangan kita. Usaha sehabis baik mungkin untuk mencari penyelesaian. Ingatlah, bahawa setiap dugaan yang datang adalah ujian daripada Allah untuk kita dan pasangan kita.

InsyaAllah, apabila kita berjaya mengharungi dengan baik dugaan dan ujian ini, lama-lama, hubungan kita dan pasangan kita akan semakin bertambah erat. Malah, dari segi kewangan pula, rezeki pula insyaAllah semakin bertambah. Kita dan pasangan mungkin akan mengenangkan kembali detik-detik kesusahan semasa mula-mula berkahwin dulu. Perkara itu akan menjadi sebahagian daripada kenangan manis dalam hidup kita dan pasangan kerana detik-detik itulah yang mengeratkan perhubungan suami dan isteri.

Kesimpulan.

Teruskan percaya dan yakin kepada Allah. Allah swt. akan membantu hamba-Nya memudahkan urusan mereka jika kita tetap teguh menyandarkan harapan kepada-Nya. Jangan putus harapan. Yakin dengan rezeki yang tuhan bagi. Semoga Allah permudahkan urusan kita!

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar