KRITERIA MEMILIH PASANGAN MENGIKUT SYARIAT ISLAM

"Setiap insan berhak untuk membuat keputusan dalam memilih calon pasangan mereka, namun, janganlah mengabaikan kriteria-kriteria yang wajib di sisi islam"

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Sudah menjadi lumrah manusia yang mengimpikan pasangan yang cantik, tampan, berkedudukan tinggi dan berharta. Namun, tidak semua antara mereka dapat seperti apa yang diimpikan. Setiap insan berhak untuk membuat keputusan dalam memilih calon pasangan mereka, namun, janganlah mengabaikan kriteria-kriteria yang wajib di sisi islam.

Taat kepada Allah dan Rasul-Nya

Ini adalah antara kriteria yang paling penting dalam tuntutan ketika memilih pasangan. Maka dalam memilih pasangan hidup, minimal seharusnya terdapat satu syarat ini. Kerana Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kalian adalah yang paling bertaqwa.”

(QS. Al Hujurat: 13)

Taqwa adalah menjaga diri dari azab Allah SWT dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi kemungkaran. Oleh itu, seorang muslim hendaklah berjuang untuk mendapatkan pasangan yang paling mulia di sisi Allah, iaitu seorang yang taat pada agama.

Keturunannya

Dalam mencari pasangan hidup, tidak salah kalau ingin melihat faktor keturunannya. Perbezaan darjat dalam beberapa perkara akan menimbulkan permasalahan di kemudian hari. Oleh itu, maka carilah keturunan yang boleh menyenangi kamu yang bersesuaian dengan tuntutan agama dan dapat memberikan keturunan yang baik-baik.

Kecantikan atau ketampanan

Ini jelas terbukti dimana setiap individu pasti menekankan paras rupa terlebih dahulu dalam mencari pasangan hidup. Wanita mahukan lelaki yang tampan manakala lelaki mahukan wanita yang cantik. Namun Sabda Rasulullah SAW ada menyatakan:

“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana ingin melihat kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan membawa kerosakan terhadap diri sendiri dan janganlah mengharapkan harta kekayaannya kerana mungkin dengan harta itu mereka menjadi sombong tetapi kahwinilah mereka itu kerana agama dan sesungguhnya hamba perempuan yang hitam lebih baik asalkan ia beragama”.

(Riwayat Ibnu Majah dab Baihaqi).

Harta

Kekayaan yang tidak berlandaskan agama akan membawa kepada bencana. Jika seseorang itu mencari pasangan hanya kerana melihat dari segi hartanya, nescaya Allah akan menghilangkan hartanya kerana harta akan lenyap pada bila-bila sahaja tanpa kita ketahui. Rasulullah SAW juga menyeru agar memilih pasangan hidup yang setara dalam agama dan statusnya.

Berikut beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan oleh seorang muslim yang hendak mencari pasangan hidup. Nasihat kami, selain melakukan usaha dalam memilih pasangan, jangan lupa sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dianugerahkan pasangan yang baik. Seperti yang ditekankan dalam entri kali ini, mereka yang taat pada agama adalah sebaik-baik pasangan.

Wallahualam.

Kongsi artikel ini: