Mencari Jodoh Melalui 'Orang Tengah'

Mencari Jodoh Melalui 'Orang Tengah'

Apa itu UBM? UBM, nama panjangnya ialah Unit Baitul Muslim. Unit Baitul Muslim ini biasanya wujud dalam sesetengah organisasi dan persatuan Islam. Bagi mereka yang aktif berpersatuan Islam mungkin akan biasa mendengar tentang unit ini...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

“Selamat pengantin baru. Wah tak sangka kau dah nak kahwin. Tak pernah cerita pun. Macam mana kenal calon untuk buat isteri tu?” tanya Aiman kepada Ali.

Dalam kesibukan persiapan kenduri kahwin, ada juga soalan macam itu menyelit. Lalu bakal pengantin yang dari pagi senyumnya sampai telinga pun bercerita.



“Alhamdulillah..sebenarnya kami tak pernah kenal sebelum ni. Kami guna UBM...”, kata Ali.

“Oooo… UBM. Apa tu?”, tanya Aiman lagi kepada Ali. Ali tersenyum sambil tersengih-sengih mendengar pertanyaan Aiman yang nampak seolah-olah sangat ‘excited’ itu.

Cerita di atas adalah salah satu contoh cerita yang mungkin biasa anda dengar di kalangan kawan-kawan anda yang bertemu jodoh menggunakan orang tengah. Menggunakan orang tengah mungkin merupakan satu cara yang agak kuno dan tradisional bagi sesetengah orang pada zaman kini.

Namun cara ini juga merupakan satu alternatif yang mampu memberikan jodoh yang baik kepada anda. Tidak salah mencuba jika masih belum bertemu jodoh kan? Mencari jodoh melalui orang tengah memberi maksud anda berusaha untuk mendapatkan jodoh atau pasangan melalui wakil anda. Ada beberapa kategori orang tengah yang akan saya terangkan sekejap lagi.

Kisah Siti Khadijah R.A. Melamar Rasulullah S.A.W.

Siti Khadijah R.A. merupakan wanita pertama yang memeluk Islam dan isteri pertama Rasulullah S.A.W. Di sepanjang hayat hidup Siti Khadijah R.A, Rasulullah S.A.W. tidak pernah menduakannya. Hanya selepas beliau meninggal barulah Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Aisyah R.A. dan beberapa wanita yang lain.

Di sebalik kisah cinta pasangan ini, ramai yang tidak tahu bagaimana Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Siti Khadijah R.A. Mungkin ramai yang dah tahu bahawa Siti Khadijah R.A. ialah orang melamar Rasulullah S.A.W. terlebih dahulu namun tidak secara terperinci. Sebenarnya Siti Khadijah R.A. melamar Rasulullah S.A.W. dengan menggunakan orang tengah atau wakil yang diberi nama Nafisah.

Nafisah Binti Munyah ialah salah seorang sahabat perempuan terdekat kepada Siti Khadijah R.A. Beliaulah yang menjadi penghubung dan orang tengah yang menyampaikan hasrat hati Siti Khadijah R.A kepada Rasulullah S.A.W. Peminangan pula dibuat melalui bapa saudara Rasulullah S.A.W. iaitu Abu Talib. Apabila mendapat lamaran daripada Siti Khadijah R.A, Rasulullah S.A.W. yang pada masa itu belum menjadi Rasul menerima lamaran tersebut.

Beberapa Kategori Orang Tengah (Wakil) Untuk Mencari Jodoh

Seperti yang saya janjikan pada tulisan di atas, saya akan menyenaraikan beberapa kategori atau jenis wakil yang boleh digunakan untuk mencari jodoh. Dalam kisah di atas, Ali memberitahu dia menggunakan khidmat UBM untuk mencari jodoh untuknya.

1. Unit Baitul Muslim

Apa itu UBM? UBM, nama panjangnya ialah Unit Baitul Muslim. Unit Baitul Muslim ini biasanya wujud dalam sesetengah organisasi dan persatuan Islam. Bagi mereka yang aktif berpersatuan Islam mungkin akan biasa mendengar tentang unit ini. Tugas mereka adalah pemudah cara untuk ahli persatuan bertemu jodoh sama ada sesama ahli persatuan atau orang lain. Namun keutamaan diberikan kepada sesama ahli persatuan untuk mencari jodoh.

2. Ibu bapa

Selain itu, ibu bapa juga merupakan orang tengah yang baik jika anda masih lagi tidak mendapat jodoh. Biasanya ibu bapa ada ramai kenalan yang terdiri daripada golongan berumur yang mungkin juga mempunyai anak yang masih belum mendapat jodoh. Jadi, dengan memberitahu ibu bapa untuk mencari jodoh juga sedikit sebanyak membantu anda mencari jodoh dengan lebih cepat.

3. Adik-beradik

Jika anda malu untuk memberitahu kepada orang tua anda untuk mencari jodoh, anda juga boleh bertanyakan kepada adik beradik anda. Kadang-kadang, ada kalangan kawan-kawan mereka yang juga sedang mencari jodoh. Siapa tahu, kawan adik beradik kita adalah jodoh yang kita tunggu-tunggu.

4. Kawan Dan Sahabat

Kawan dan sahabat kita juga merupakan orang tengah yang baik dalam mencari jodoh. Ada sesetengah orang yang mungkin malu untuk meminta tolong dengan keluarga, jadi kawan dan sahabat anda sendiri adalah alternatif yang baik. Kawan dan sahabat kita juga adalah orang yang kenal, tahu dan memahami diri kita. Untuk menjadi orang tengah, tidak susah untuk mereka berhubung dengan bakal jodoh kita.

5. Agen Mencari Jodoh

Selain daripada itu, agen mencari jodoh juga adalah wakil yang boleh kita hubungi untuk mencari jodoh. Sama ada agen mencari jodoh tersebut berurusan secara bersemuka atau secara ‘online’. Golongan ini lebih berkemahiran untuk menguruskan pasangan yang belum mendapatkan jodoh kerana mempunyai pengalaman di dalam bidang ini. Ia sesuai digunakan bagi anda yang mahu mencari jodoh tetapi malu untuk meminta tolong kepada orang yang anda kenal.

6. Asatizah (Golongan Ilmuan Agama dan Ustaz)

Mendapatkan pertolongan daripada golongan ilmuan agama juga merupakan salah satu cara jika belum bertemu jodoh. Ustaz dan ustazah adalah orang yang boleh dianggap thiqah (dipercayai) di dalam masyarakat. Kenalan mereka juga biasanya ramai kerana selalu menyampaikan ilmu dan memberi kuliah di pelbagai tempat.

Kelemahan Mencari Jodoh Melalui Orang Tengah

Mencari jodoh menggunakan perantaraan ini biasanya akan mengambil masa yang tidak tentu. Ia boleh jadi cepat dan boleh jadi lambat. Bahkan, mungkin akan memakan masa berbulan-bulan kerana prosesnya melibatkan beberapa pihak. Mereka yang menggunakan alternatif mencari jodoh melalui orang tengah ini haruslah mempunyai sifat sabar. Jangan memberi tekanan kepada orang tengah atau wakil anda yang menguruskan proses tersebut.

Selain itu, jika anda menyerahkan sepenuhnya kuasa memilih kepada orang tengah mungkin anda tidak berkenan dengan bakal pasangan yang dipilih orang tengah tersebut. Sebaiknya, anda memberi ciri-ciri atau kriteria yang anda mahu untuk menjadi pasangan anda dengan terperinci kepada wakil anda. Dengan itu, wakil anda mungkin boleh merujuk maklumat tersebut untuk dipadankan dengan bakal pasangan anda nanti.

Kesimpulan

Menggunakan orang tengah atau wakil mungkin bersesuaian bagi anda yang masih lagi tidak bertemu jodoh. Ia adalah salah satu usaha dan ikhtiar bagi mendapatkan jodoh. Tidak salah mencuba kerana jodoh tidak datang sendiri. Sama juga dengan halnya rezeki. Ia juga tidak datang bergolek tanpa adanya usaha. Semoga artikel ini bermanfaat.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar